BEBERAPA OPSYEN SBPA DI BANTAH
Berita Harian
Oleh Adha Ghazali
adha@bharian.com.my
2011/12/16
CUEPACS minta 1.4 juta kakitangan awam tidak tandatangan surat tawaran JPA
KANGAR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) semalam membantah pelaksanaan beberapa opsyen Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang didakwanya kurang jelas, selain tempoh terlalu singkat diberikan kepada penjawat awam untuk menerima tawaran itu. Serentak itu, kongres berkenaan meminta kira-kira 1.4 juta penjawat awam tidak menandatangani surat tawaran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi SBPA sehingga mereka berpuas hati dan memahami sepenuhnya skim berkenaan. Keputusan itu dibuat hasil undian sebulat suara 125 perwakilan CUEPACS seluruh negara yang berhimpun selama dua hari bermula kelmarin membincangkan isu pelaksanaan SBPA pada Mesyuarat Kongres Khas yang berlangsung di Hotel Putra Brasmana, di sini.
Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata keputusan membantah opsyen SBPA dibuat pada mesyuarat itu berdasarkan kepada pertimbangan wajar 125 perwakilan, sebagai mewakili isi hati 1.4 juta penjawat awam seluruh negara.















