NEW URL ADDRESS STARTING 1 AUGUST 2013 http://eduakses.blogspot.com

ENTRI TERKINI

Thursday, July 29, 2010

UPSR: Tambahbaik Bukan Mansuh...

PUTRAJAYA: Kebanyakan peserta yang hadir dalam perbincangan meja bulat kedua mengenai pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) semalam, mahu kedua-dua peperiksaan itu dikekalkan, tetapi perlu penambahbaikan.

Tokoh akademik dan bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, berkata sistem dua peperiksaan itu perlu diubah bagi memperbaiki kelemahan sedia ada.
"Peperiksaan perlu ada untuk menilai apa yang diajar sebelum ini, tetapi bagaimana peperiksaan itu perlu dibuat perlu dibincang dan diberi perhatian.
"Bagaimanapun, kebanyakan mereka yang hadir mahu UPSR dan PMR dikekalkan, tetapi kerajaan memperbaiki segala kelemahan termasuk meningkatkan kualiti guru," katanya selepas Majlis Perbincangan Meja Bulat Kementerian Pelajaran yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Md Dom, di sini, semalam.

Alimuddin bagaimanapun enggan memberi komen dan ulasan kepada pemberita yang menunggu sejak jam 8.30 pagi.

Perbincangan meja bulat kedua itu berlangsung kira-kira empat jam dan dihadiri 75 peserta di kalangan tokoh pendidikan, wakil parti politik, ahli akademik Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

Kementerian mengadakan dua rundingan meja bulat bagi membincangkan cadangan pemansuhan dan rumusannya akan dikemukakan kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, awal bulan depan.
Ahli Senat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang juga pakar rujuk Majlis Perundingan Melayu (MPM), Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron, berkata kedua-dua peperiksaan itu perlu dikekalkan, tetapi pendekatan dan fungsi serta tujuannya perlu diubah.

"Dua peperiksaan ini sekarang berorientasikan peperiksaan rujukan norma untuk pemilihan dan perlu diubah kepada peperiksaan untuk menaksir prestasi pelajar berasaskan kriteria dan standard iaitu untuk menaksir sejauh mana pelajar menguasai pelajarannya dan mencapai tahap ditentukan.

"Jika dimansuhkan UPSR dan PMR, ia akan terlalu lewat untuk menaksir dan memantau taraf kualiti pendidikan di negara ini serta terlalu lewat untuk memberi peluang pelajar memperbaiki pembelajaran," katanya.

Pengerusi Biro Pendidikan MIC, Tan Sri Prof T Marimuthu, berkata kedua-dua peperiksaan khasnya UPSR perlu dikekalkan untuk menilai produktiviti sekolah dan pelajar di negara ini.

"Kita seharusnya memperbaiki sistem penilaian sedia ada dan memfokus kepada pengajaran dan pembelajaran," katanya.

Setiausaha Kehormat, Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah China Malaysia, Poh Chin Chuan mahu Kementerian Pelajaran mengumumkan formula alternatif jika mahu memansuhkan UPSR.

"Kementerian tidak wajar membuat keputusan tergesa-gesa memansuhkan UPSR, sebaliknya perlu mengumumkan formula alternatif dan mendengar pandangan pelbagai lapisan masyarakat secara menyeluruh.

Berita Harian Online: 28 Julai 2010

No comments:

Post a Comment