NEW URL ADDRESS STARTING 1 AUGUST 2013 http://eduakses.blogspot.com

ENTRI TERKINI

Thursday, July 1, 2010

Cadangan Pemansuhan UPSR

Setelah lenyap isu PPSMI lantaran pemansuhan pelaksanaannya, muncul satu isu baru yang semakin menjadi topik perbualan dan perdebatan golongan pendidik mahupun orang ramai. Isu yang dimaksudkan ialah Pemansuhan UPSR dan PMR. Idea pemansuhan diutarakan oleh Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Perdana Menteri berdasarkan kepada penelitian Kementerian Pelajaran Malaysia yang merumuskan bahawa sistem pendidikan negara terlalu berorientasikan peperiksaan. 

Ramai yang menyokong dan tidak kurang juga yang membantah.

Kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin " Ia langkah baik... UPSR sebenarnya lahir sebagai peperiksaan pemilihan ke sekolah menengah. Ia satu kesinambungan untuk peperiksaan selepas Tahun Enam yang pernah diadakan dulu dikenali sebagai MSSEE (Malayan Secondary School Entrance Examination). Namun hanya 30 peratus murid diambil, selebihnya dimasukkan ke sekolah lanjutan.

Apabila dilakukan kenaikan darjah secara automatik, maka peperiksaan pemilihan tiada guna lagi kecuali untuk ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Jadi, murid naik darjah tak berasaskan pemilihan tetapi kerana umur, maka lahirlah masalah buta huruf. Di sinilah UPSR tidak mengikut tujuan asalnya.

PMR pula penggantian untuk masuk ke Tingkatan Empat. Siapa tak berjaya kena ulang, tapi bila ada sistem kenaikan automatik, fungsi asalnya juga tiada lagi. Untuk saya, dari segi itulah ia tak relevan. Saya sudah mencadangkan pemansuhan sistem peperiksaan ini tiga tahun lalu kerana ia tak lagi relevan dengan tujuan asal. Kalau kita lihat UPSR dan PMR hari ini, kebanyakan jawapan adalah objektif, pakai agak-agak pun boleh, tiada lagi pemikiran. Jadi kementerian harus sediakan sukatan pelajaran sesuai, apa harus murid belajar ketika Tahun Satu dan Tahun Dua, apa pula diajar di Tahun Tiga dan Tahun Empat. 

Reaksi Tun Dr Mahathir Mohamad "Peperiksaan walau dalam apa sistem sekali pun, tetap perlu diadakan kerana ia satu bentuk ujian untuk menilai kebolehan seseorang. Apa yang perlu dinilai sebenarnya adalah kaedah pelaksanaan dan bukannya peperiksaan itu semata-mata. Kita perlu pastikan sistem yang akan diperkenal menggantikan UPSR dan PMR adalah lebih baik daripada sedia ada, termasuk mengkaji pelaksanaannya sebaik mungkin supaya ia menepati sasaran pelaksanaan dan berbaloi diperkenal menggantikan dua peperiksaan terbabit. Walau apa keputusan sekali pun (mansuh UPSR dan PMR atau tidak), sekurang-kurangnya satu jenis ujian perlu diadakan kerana ia adalah satu kemestian. Jika tidak sukar untuk kita mengetahui kebolehan orang."

Sistem Penilaian Holistik di sekolah...

PUTRAJAYA 30 Jun - Sistem pendidikan di negara ini perlu melalui proses penilaian semula dengan memastikan kaedah pentaksiran terhadap pencapaian para pelajar dibuat secara holistik.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata, langkah tersebut bagi membolehkan para guru mengenal pasti potensi sebenar setiap pelajar mereka dan seterusnya mengasah sepenuhnya keupayaan golongan tersebut.