NEW URL ADDRESS STARTING 1 AUGUST 2013 http://eduakses.blogspot.com

ENTRI TERKINI

Tuesday, February 28, 2012

Guru perlu kreatif, inovatif : Tn Hj Jailani Ludin (KS SPA JPN Pahang)


Jailani Ludin (kiri) melihat kereta solar ciptaan pelajar SMK Seri Tualang selepas merasmikan Majlis Pelancaran Produk dan Program Sains dan Teknologi di sekolah itu di Temerloh, Pahang, baru-baru ini.


Guru sains dan matematik perlu kreatif serta menggunakan pendekatan yang menarik bagi mengatasi masalah kemerosotan minat pelajar terhadap kedua-dua mata pelajaran tersebut.

Ketua Sektor Pembangunan Akademik, Jabatan Pelajaran Negeri Pahang, Jailani Ludin berkata, kedua-dua mata pelajaran itu penting kerana ia merupakan tunjang bagi melahirkan pelajar sebagai modal insan yang kreatif dan inovatif.

Katanya, bagi mencapai status negara maju, rakyat negara ini perlu menguasai dan meneroka kemajuan sains dan teknologi.

"Ini merupakan satu cabaran buat warga pendidik, khususnya guru-guru yang mengajar mata pelajaran sains dan matematik bagi meningkatkan semula minat pelajar terhadap kedua-dua mata pelajaran tersebut.

"Guru perlu menyahut cabaran ini kerana kemajuan dan masa depan negara terletak di bahu kita bagi melahirkan pelajar yang mampu menguasai teknologi serta pakar dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D)," kata Jailani.

Beliau yang mewakili Pengarah Pelajaran Pahang berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis Pelancaran Produk dan Program Sains dan Teknologi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Tualang di Temerloh, Pahang baru-baru ini.

Turut hadir Pegawai Pelajaran Daerah, Aishah Hamzah dan Pengetua SMK Seri Tualang, Hussin Hamid.

Menurut beliau, mata pelajaran sains dan matematik juga memerlukan transformasi serta penambahbaikan seiring dengan perkembangan ilmu dan teknologi supaya para pelajar tidak berasa bosan semasa mengikuti subjek tersebut.

Jailani juga menasihati para pelajar supaya menanam cita-cita untuk berjaya dalam kerjaya berasaskan teknologi serta R&D dan bukannya bekerja dalam sektor kerajaan apabila tamat pengajian daripada universiti.

"Kita perlu membuang minda untuk makan gaji dengan kerajaan semata-mata.

"Hal ini kerana jawatan dalam kerajaan adalah terhad tetapi sebaliknya dunia kerjaya hari ini lebih terbuka kepada mereka yang mampu menguasai kemajuan sains dan teknologi," ujar Jailani.

Beliau menambah, kerjaya dalam bidang berkaitan sains, matematik dan teknologi menawarkan gaji yang lumayan dan ini yang menjadi cita-cita kerajaan untuk membolehkan rakyat meraih pendapatan tinggi.

Oleh Ali Mahmood
utusanpahang@utusan.com.my