NEW URL ADDRESS STARTING 1 AUGUST 2013 http://eduakses.blogspot.com

ENTRI TERKINI

Thursday, December 29, 2011

PENDIDIKAN ISLAM


RESPON KPM:-

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Surat Pembaca “Muhd Shatar, Bukit Mertajam, Pulau Pinang” dalam ruangan Surat Kepada Pengarang akhbar Berita Harian bertarikh 12 Disember 2011 – Pendidikan Islam gagal dijiwai pelajar.
Penulis melahirkan kebimbangan beliau terhadap gejala sosial yang semakin serius. Beliau mencadangkan supaya sukatan pelajaran Pendidikan Islam dikaji dan diberi penambahbaikan.
Secara khususnya Pendidikan Islam KSSR dan KSSM memberi penekanan kepada aspek penghayatan murid terhadap ilmu yang dipelajari. Pelbagai strategi dibuat bagi memastikan guru dapat menanam penghayatan terhadap ilmu yang dipelajari oleh murid. Antara strategi tersebut ialah menambah masa untuk pelaksanaan amali agar murid lebih memahami dan menghayati ilmu yang dipelajari apabila mereka  melakukan sendiri perkara tersebut secara amali.
Penekanan kepada penghayatan ini akan diperkukuhkan lagi oleh pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang menilai murid secara lebih holistik dan tidak terhad kepada aspek intelek sahaja. Oleh itu adalah tidak tepat kenyataan yang menyatakan murid hanya diminta supaya menghafal istilah, takrif, jenis hukum dan nama kitab serta contoh petikan ayat al Quran semata-mata untuk mendapatkan kejayaan di dalam peperiksaan.
Mata pelajaran Pendidikan Islam sebagai salah satu komponen dalam Kurikulum Kebangsaan dibina bagi memenuhi keperluan memberi pendidikan Islam yang lengkap, menyeluruh dan bersepadu kepada murid-murid di sekolah. Kurikulum ini merangkumi keseluruhan aspek hidup dan amalan bagi seorang muslim. Oleh itu Pendidikan Islam menekankan aspek ilmu, amali, amalan, penghayatan dan pembudayaan. Murid diberi pengetahuan dan kefahaman yang mencukupi mengenai pelbagai persoalan dan isu kehidupan yang luas bagi mengorak dan mempengaruhi budaya serta cara hidup mereka. Pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam dilaksanakan dengan mengaitkannya dengan pelbagai aspek ilmu dan amalan yang dapat diaplikasikan dalam kehidupan secara meluas, mampu mengubah dan membangunkan diri sendiri serta masyarakat yang mempunyai daya fikir yang cemerlang, kreatif dan berinovasi, berakhlak mulia, bersefahaman, bersyukur dan bersatu padu. Pengolahan yang demikian rupa diharap mampu menghasilkan tamadun umat yang tinggi serta dapat memberi sumbangan terhadap pembangunan dan kesejahteraan negara. Nilai-nilai daripada mata pelajaran lain juga direntas supaya wujud kesepaduan daripada pelbagai ilmu yang diperoleh di sekolah. Murid juga dididik agar dapat mengaitkan apa yang dipelajari daripada Pendidikan Islam dengan mata pelajaran lain yang dipelajari. Melalui pendekatan ini, cita-cita untuk melahirkan insan bertakwa, harmonis dan seimbang akan tercapai.
Pembentukan sahsiah seseorang khususnya para remaja bukan hanya terletak kepada pembelajaran yang diperoleh di sekolah. Banyak faktor lain yang menyumbang kepada pembentukan peribadi seseorang antaranya keluarga, masyarakat, rakan sebaya dan persekitaran. Oleh itu, semua pihak perlu merasa bertanggungjawab dalam menyumbang kepada usaha membina dan membentuk remaja kita agar menjadi generasi yang beriman, berakhlak dan mampu menyumbang kepada kesejahteraan dan kemajuan negara. Sikap menuding jari kepada pihak lain tidak akan menyelesaikan masalah malah menambahkan lagi masalah yang sedia ada.
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

KREDIT: KPM