NEW URL ADDRESS STARTING 1 AUGUST 2013 http://eduakses.blogspot.com

ENTRI TERKINI

Tuesday, April 27, 2010

Asas PKKP


Peningkatan Kurikulum dan Kemajuan Pendidikan (PKKP)
Sejak dilancarkan pada tahun 1995, Program PKKP telah berevolusi menjadi suatu sistem yang berkembang dan menyerap segala perubahan, sekaligus menjana kecemerlangan pendidikan di negeri Pahang Darul Makmur....

Penumpuan usaha setiap warga pendidik terjurus ke arah melestarikan kecemerlangan. Ini memerlukan penambahbaikan dan peningkatan secara berterusan. Konsep peningkatan ini sama dengan konsep ‘penambahbaikan’ atau ‘kaizen’ yang dilaksanakan dengan meluas di Jepun. Peningkatan hendaklah berlaku bukan sahaja pada hasil tetapi juga pada proses.  Proses ialah sesuatu yang berkaitan dengan perancangan, pelaksanaan, pengajaran dan pembelajaran, pentaksiran dan apa jua tindakan yang membantu kepada pengeluaran hasil.  Hal sedemikian selaras dengan konsep ‘Total Quality Management – TQM’ yang diamalkan dalam pengurusan Perkhidmatan Awam.
    Peningkatan perlu bermula daripada peringkat perancangan dan meliputi matlamat atau ‘target’ sekolah dalam penilaian dan peperiksaan di semua aras/tahap/tingkatan.Usaha perlu dibuat supaya pencapaian meningkat dari tahun ke tahun secara progresif.  Pertambahan dan pencapaian hendaklah secara kuantiti dan kualiti.  Selagi pencapaian tidak mencapai 100% , sekolah perlu menunjukkan peningkatan. Walaupun pencapaian dari segi kuantiti adalah 100%, tetapi dari segi kualiti mungkin belum secara total.  Oleh itu, usaha hendaklah ditumpukan kepada meningkatkan kualiti sehingga 100% mencapai kualiti maksima.
    Walaupun target pencapaian telah ditetapkan 100% tetapi pencapaian sebenar mungkin tidak seperti yang dihasratkan. Namun demikian, usaha hendaklah dibuat agar target itu dicapai walaupun tidak dalam tempoh yang singkat.  Oleh sebab pencapaian 100% itu sukar dicapai dalam tempoh yang singkat, maka dicadangkan supaya sekolah berusaha mencapainya secara progresif iaitu meningkat dari tahun ke tahun.  Dalam usaha menuju ke arah mencapai 100% ini elakkan daripada merosot atau kekal pada tahap yang sama.
   Dengan mengamalkan konsep peningkatan, seseorang tidak dapat mengelak daripada mengkaji tentang keberkesanan sesuatu tindakan.  Untuk meningkat, semua harus mengkaji keberkesanan sama ada secara muhasabah, refleksi, ‘postmortem’ atau kajian terperinci.  Maklumat-maklumat ditafsir sehingga terhasil cadangan-cadangan strategik untuk mengatasinya.  Dengan cara demikian, strategi untuk meningkat tidak diperoleh melalui jalan singkat dan secara ad-hoc tetapi perlu melalui proses yang teliti.  Setelah sesuatu strategi yang dilaksanakan terbukti tidak menghasilkan peningkatan yang membanggakan maka strategi itu  tidak wajar diulang kerana   pasti akan menghasilkan kegagalan. 
    Apabila peningkatan berlaku, maka standard baharu telah dicipta, dan daripada standard baharu ini usaha perlu diteruskan untuk membuat peningkatan seterusnya. Jika tidak, kemerosotan akan mengambil alih.  Jika kemerosotan berlaku, usaha yang dibuat tidak lagi bertujuan untuk peningkatan sebaliknya hanya untuk kembali ke standard asal.
   Setiap usaha peningkatan mesti bermula dengan perancangan dan mempunyai proses pemantauan yang dituruti oleh modifikasi apabila pelaksanaan tidak mencapai matlamat.  Apabila peningkatan telah berlaku, pencapaian itu ialah standard yang baharu kepada organisasi.  Peningkatan perlu dibuat daripada standard yang baharu itu menggunakan langkah yang sama.  Jika peningkatan berlaku, prestasi baharu ini pula menjadi standard yang baru dan usaha peningkatan akan diteruskan.  Dalam konsep ini tidak ada istilah ‘maintain’, sebaliknya sentiasa ada peningkatan.
  ‘Core business’ pendidikan ialah perkataan kurikulum.  Setiap pengurus pendidikan semestinya memberikan tumpuan kepada pengurusan kurikulum sebagai tugas utama mereka.  Keberkesanan pelaksanaan kurikulum berkait rapat dengan pengurusan kurikulum dan proses pengajaran dan pembelajaran.  Sebelum kurikulum dilaksanakan, jenteranya perlu wujud dan berfungsi dengan berkesan.  Jentera tersebut ialah Jawatankuasa Kurikulum, Panitia Mata Pelajaran dan guru mata pelajaran.  Keberkesanan jentera ini meliputi aspek perancangan, pelaksanaan, penilaian dan pemantauan yang bergantung kuat kepada penguasaan kaedah dan proses serta disokong oleh alat-alat bantuan.
   Penggemblengan sumber, sama ada jentera, kaedah, proses atau alat akan berhadapan dengan kelemahan-kelemahan yang akan menjejaskan hasil atau pencapaian.  Kelemahan-kelemahan tersebut perlu dikenal pasti dan strategi perlu difikirkan untuk mengatasinya.  Dengan itu, peningkatan kurikulum memberikan maksud membaiki kelemahan-kelemahan dalam pengurusan kurikulum yang merangkumi tindakan perancangan dan pelaksanaan yang akan meningkatkan pencapaian akademik. 

Pemantauan
   Program PKKP mengajar pihak pengurusan sekolah tentang kaedah bagaimana hendak mengenal pasti masalah sebelum sesuatu aktiviti dirancang.  Hal ini bermakna semua aktiviti yang dirancang itu berdasarkan masalah dan keperluan sebenar sekolah berkenaan.  Jika  dilaksanakan sepenuhnya, maka sudah pasti masalah yang dinyatakan itu dapat diatasi dan kesan yang nyata ialah  peningkatan prestasi sekolah. Walau bagaimanapun, sesetengah sekolah masih tidak dapat menunjukkan peningkatan seperti yang diharapkan.  `Area’ yang kritikal dalam masalah ini ialah pelaksanaan.  Oleh yang demikian, satu mekanisme perlu digembleng untuk mengatasi masalah tersebut.
   Pemantauan telah diterima dan dipercayai oleh semua warga pendidik di Pahang sebagai satu kaedah yang  boleh membimbing dan membantu pihak sekolah dalam usaha mempertingkatkan prestasi.  Semua aras pengurusan di sekolah, PPD dan JPNP mempunyai peranan sebagai pemantau dan dilakukan secara berterusan dan tidak seharusnya bergantung semata-mata kepada pemantauan secara berpusat.
   Setiap tindakan yang diambil dalam melaksanakan  dan menguruskan kurikulum semestinya mempunyai bukti  atas pelaksanaan tersebut dan  mempunyai nilai dari segi akauntabiliti, visibiliti, reliabiliti dan validiti.  Maka dengan itu, bukti pelaksanaan haruslah menjadi pegangan.

Kaedah Pemantauan yang disarankan 
  1. Pemantauan secara menegak 
Kaedah ini ialah pemantauan secara berpusat dan berautoriti.  Pemantauan ini dilakukan oleh JPN atau PPD sebagai agensi pusat atau dilaksanakan sendiri oleh Pengetua/GPK sebagai agen pelaksana.  Pemantauan ini dijalankan secara berkala 2 atau 3 kali setahun.  Ciri utamanya ialah membimbing sekolah dalam mengaplikasikan program PKKP dan memberikan nasihat jika didapati ada kelemahan dalam pemahaman konsep dan pengaplikasian program tersebut. Oleh itu, pemantauan ini berfokus kepada sistem.
  1. Pemantauan secara melintang 
Kaedah ini lebih bersifat kesejawatanan dan dengan sedikit autoriti.  Contoh pemantauan kaedah ini ialah pemantauan oleh panitia dalam sekolah atau antara sekolah dan pemantauan kelompok yang melibatkan Pengetua/Guru Besar antara sekolah.  Ciri utama pemantauan ini ialah berbentuk kolaboratif, kerjasama dan perkongsian antara guru atau antara sekolah.  Fokusnya lebih kepada proses dan boleh membantu pembangunan diri pemantau sendiri sebagai pelaksana kurikulum.
  
  1. Pemantauan berfokus 
Pemantauan berfokus boleh diadakan secara berterusan dengan memberikan keutamaan kepada tema atau objektif tertentu.  Antara fokus yang boleh dibuat ialah:

  • Perancangan sekolah iaitu meliputi visi/misi/matlamat sekolah, dan mekanisme untuk menguruskan pelaksanaan kurikulum
  • Sistem pengurusan, seperti sistem penilaian/pengujian, sistem pemantauan/penyeliaan P & P, Pemeriksaan buku tulis/latihan dsb.
  • Pelaksanaan P & P
  • Defisit pembelajaran
  • Prestasi Ujian/Penilaian
  • Pelaksanaan Program/aktiviti
  
  1. Pemantauan Kendiri
 Pemantau sendiri harus membuat kajian sendiri atas pelaksanaan yang dilakukannya; terutama yang berkaitan dengan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.  Hanya apabila pemantau tidak dapat mengesan kelemahan sendiri dan memerlukan pandangan kedua maka beliau perlulah dipantau oleh pihak kedua. 
  
  1. Pemantauan secara `debriefing’
 Pemantauan cara ini adalah untuk mendapatkan gambaran terperinci mengenai status semasa perancangan dan pelaksanaan oleh guru atau sekolah. Pemantauan cara ini elok dilakukan oleh Guru Besar/Pengetua untuk mengetahui masalah yang dihadapi oleh mata-mata pelajaran tertentu dan apakah penyelesaian yang telah dirancang atau dilaksanakan untuk mengatasinya. Tindakan susulannya ialah penyediaan senarai aktiviti yang akan dilaksanakan dan pelan tindakan pemantauan ke atas pelaksanaan aktiviti tersebut.
  
Take – off Value (TOV)
 Setiap pelaksana harus mengetahui nilai mula bagi program yang hendak dilaksanakannya.  Setiap guru seharusnya tahu nilai mula pelajarnya sebelum memulakan pelajaran yang baharu.  Mengetahui nilai mula bermakna mengetahui defisit pembelajaran bagi seseorang pelajar.
 Lazimnya, sekolah menggunakan hasil pentaksiran akhir tahun sebagai nilai mula bagi tahun berikutnya.  Jika item yang digunakan dalam penilaian akhir tahun meliputi semua topik dan semua aras yang patut dikuasai oleh pelajar, maka itu telah memenuhi ciri yang diperlukan untuk mengenal defisit pembelajaran. 
  
Defisit Pembelajaran
 Defisit pembelajaran ialah kekurangan penguasaan kemahiran  seseorang pelajar berbanding hasil pembelajaran yang perlu dikuasainya. Situasi ini  berlaku apabila pelajar tidak menguasai kemahiran asas; atau tidak menguasai kemahiran yang melebihi kemahiran asas berdasarkan target dirinya.  Pencapaian seseorang murid dalam sebarang penilaian menggambarkan defisit pembelajarannya.
 Huraian Sukatan Pelajaran telah menterjemahkan aras-aras kemahiran ini melalui objektif atau Hasil Pembelajaran.  Setiap pelajar harus menguasai kesemua aras tersebut. Defisit pembelajaran semasa perlu diselesaikan pada tahun berkenaan agar tidak ada perlonggokan  defisit untuk tahun berikutnya. Perlonggokan defisit tidak wajar dibiarkan.

Analisis dan Diagnosis
 Analisis ialah proses memeriksa sesuatu data dengan mencerakinkannya bagi mendapatkan maklumat, khususnya data hasil daripada  pentaksiran terhadap pelajar.  Data dalam analisis perlu diterjemahkan kepada makna-makna yang informatif.
 Diagnosis ialah analisis yang terperinci mengikut item pentaksiran.  Analisis tersebut akan menunjukkan pencapaian pelajar bagi setiap item.  Tafsiran daripada data tersebut akan menunjukkan taraf penguasaan pelajar atas topik berkenaan.  Analisis ini akan memberikan gambaran sebenar mengenai masalah yang dihadapi pelajar dan maklumat ini amat sesuai digunakan untuk strategi peningkatan.
  
Folio A
 Dokumen dalam bentuk fail yang mengandungi data pelajar, data subjek, TOV, analisis penilaian, diagnosis item dan dapatan-dapatannya.  Setiap Tingkatan/Tahun harus mempunyai folio yang berasingan.  Pencapaian murid dalam penilaian hendaklah dimuatkan dalam folio ini. Pencapaian tersebut hendaklah dianalisis dan dapatannya disenaraikan.  Hasil analisis diterjemahkan dalam pelbagai bentuk termasuklah graf yang bersesuaian. 
 Selain analisis, diagnosis item juga dimuatkan dalam folio ini.  Daripada diagnosis tersebut akan terhasil dapatan pencapaian pelajar mengikut item.  Dapatan ini boleh menunjukkan masalah sebenar pelajar-pelajar berkaitan sesuatu topik.  Topik yang bermasalah itu disenaraikan mengikut aras kesukaran dan wajaran kesukarannya. Daripada wajaran tersebut menunjukkan keutamaan atau aras kritikal sesuatu masalah berdasarkan keutamaan penyelesaiannya.
 Semua tindakan menyediakan data dan dapatan hendaklah dilakukan oleh panitia mata pelajaran berkenaan.  Setiap panitia mata pelajaran perlu menyimpan satu salinan data tersebut dalam fail panitia untuk rujukannya.
 Sebagai rumusan, Folio A boleh dianggap sebagai himpunan data dan masalah yang telah dikenal pasti daripada data tersebut.  Folio A juga merupakan keperluan sebenar tindakan yang harus dijalankan untuk meningkatkan prestasi pelajar dalam subjek atau topik tertentu.
  
Folio B
 Dokumen dalam bentuk fail yang mengandungi strategi-strategi yang dirancang untuk mengatasi masalah yang telah dikesan melalui analisis dan diagnosis.  Strategi-strategi itu telah diterjemahkan dalam bentuk kertas-kertas projek dan jadual pelaksanaan.
 Folio B mengandungi program-program cadangan untuk dilaksanakan di sekolah bagi mencapai matlamat PKKP.  Pengurus-pengurus pendidikan di sekolah diharapkan dapat merancang dan melaksanakan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan matlamat dan keperluan sekolahnya.  Untuk keberkesanan pelaksanaan, program–program ini perlu disusun mengikut prioriti; sama ada program utama, sokongan atau sampingan. 
 Program-program ini perlu diperkembang mengikut format perancangan  seperti yang berikut: 
  • Tajuk Projek
  • Rasional
  • Penyataan Masalah
  • Huraian Masalah
  • Objektif
  • Kumpulan Sasar
  • Jangka Masa Projek
  • Sumber
  • Strategi Pelaksanaan/Pelan Bertindak/Carta Gantt
  • Penilaian & Tindakan Susulan
 Program-program ini hendaklah disimpan dalam folio yang boleh ditambah.  Jika sesuatu program  mengalami penyesuaian maka program tersebut   dianggap sebagai program baharu yang telah diubahsuai.
  
Kategori Program
 Program terbahagi kepada: 
  • Program Utama
  • Program Sokongan
  • Program Sampingan 
Program Utama
 Program yang berfokus kepada Pengajaran & Pembelajaran dalam bilik darjah. Sebagai contoh, guru menggunakan modul, kaedah P & P yang dicadangkan oleh PPK dan JPN.  Contoh
  • Khidmat guru bantu
  • Modul Bijak Sifir
  • Penggunaan BBM/ABM secara berkesan
  • Penggunaan video dalam pengajaran
  • Penggunaan multimedia dalam P & P
  • Penggunaan modul pengajaran yang lain  
Program Sokongan
 Program sokongan ialah program yang dirancang untuk dijalankan di luar bilik darjah bagi memperkukuh aktiviti utama P & P dalam bilik darjah.  Program ini menyokong pelaksanaan program utama dengan dilaksanakan di luar jadual waktu bilik darjah. Contoh: Bengkel penyediaan modul pembelajaran atau ABM, kelas tambahan atau bimbingan sebagai aktiviti pengukuhan, pemulihan atau pengayaan.  Semua aktiviti ini membantu  keberkesanan P & P rasmi. 
  • Membina ABM/BBM
  • Kelas pemulihan
  • Kelas pengukuhan
  • Kelas pengayaan
  • Penyediaan modul
  • Pendedahan teknik menjawab
  • Pembinaan ujian
  • Bank soalan

Program Sampingan
 Program yang dirancang bagi menggalakkan minat pelajar dalam aktiviti utama dalam bilik darjah.  Program ini memberikan kesan sampingan atau kesan tidak langsung kepada peningkatan.  Contoh; penerangan mengenai peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa dalam membantu pelajaran anak-anak, program motivasi yang meningkatkan minat pelajar untuk belajar secara berkesan.  Contoh lain: 
  • Kuiz
  • Teka silang kata
  • Lawatan ke tempat yang ada kaitan dengan pelajaran
  • Penerangan tentang kerjaya
  • Motivasi
  • Teknik belajar
  • Aktiviti kokurikulum akademik  
Program hendaklah dirancang secara sistematik dan perlu  mengambil kira aspek-aspek seperti berikut: 
  • Program hendaklah dikendalikan secara sepakat (team work)
  • Dijalankan mengikut jadual pelan bertindak (Carta Gantt)
  • Penilaian mestilah dijalankan sepanjang program dan pada akhir program.
Dipetik daripada Buku Semarak PKKP 2008 terbitan Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran Pahang.

No comments:

Post a Comment