NEW URL ADDRESS STARTING 1 AUGUST 2013 http://eduakses.blogspot.com

ENTRI TERKINI

Wednesday, May 2, 2012

DIALOG NASIONAL PENDIDIKAN NEGARA


TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN BIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA
DI MAJLIS DIALOG NASIONAL PENDIDIKAN NEGARA
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA 2012
PADA 29 APRIL 2012; PUKUL 10.30 PAGI
BERTEMPAT DI DEWAN PICC
 
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.
 
YBhg. Dato’ Dr Rosli Mohamed
Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia
 
YBhg.Dato’ Sri Abd. Ghafar Mahmud
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
 
YBhg. Tan Sri Dato’ Dr Wan Mohd Zahid bin Wan Mohd Noordin
Pengerusi Panel Dialog Nasional Pendidikan Negara
 
YBhg. Tan Sri Dato’ Dzulkifli bin Abdul Razak
Pengerusi Panel Penilai Bebas Kajian Semula Pendidikan
 
Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian.
 
1.         Pertamanya, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia dan izinNya kita dapat sama-sama berhimpun pada pagi yang berbahagia ini untuk menyempurnakan majlis Pelancaran Dialog Nasional Pendidikan Negara. Kehadiran saudara dan saudari pada hari ini amat bermakna bagi diri saya, yang tidak mampu saya ungkapkan dengan kata-kata. Kesanggupan mengorbankan cuti hujung minggu sudah cukup menggambarkan betapa saudara dan saudari begitu mengambil berat tentang pendidikan anak-anak dan masa depan negara kita.
 
2.         Sesungguhnya, siri Dialog Nasional Pendidikan Negara yang dimulakan pada hari ini dan berterusan untuk tempoh tiga bulan akan datang menawarkan peluang yang terbaik untuk saudara dan saudari serta seluruh rakyat Malaysia menyumbangkan buah fikiran dan saranan bagi meningkatkan taraf dan kualiti sistem pendidikan di negara kita. Kita mulakan usaha ini kerana kita tahu tidak ada apa yang lebih bermakna untuk kita wariskan kepada generasi masa hadapan negara melainkan pendidikan yang terbaik untuk mereka. Saya bagi pihak kerajaan amat berbesar hati untuk mendengar segala pandangan anda, mendengar harapan anda, aspirasi anda dan gerak hati anda untuk membolehkan kita mencari formula terbaik dalam menjayakan agenda transformasi pendidikan negara.
 
PENCAPAIAN PENDIDIKAN NEGARA
 
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
 
3.         Bidang pendidikan di negara kita telah melalui beberapa fasa transformasi sejak Malaysia mencapai kemerdekaan. Transformasi yang pertama bermula dengan penggubalan Penyata Razak 1956 yang bertujuan untuk merapatkan jurang antara kaum dan memupuk perpaduan nasional melalui penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama di sekolah-sekolah kebangsaan. Pelbagai peristiwa yang melatari hubungan  kaum di negara kita pada zaman awal selepas merdeka telah menimbulkan kesedaran tentang betapa pentingnya pendidikan dijadikan wahana utama dalam usaha untuk memupuk perpaduan kaum dan membina negara bangsa yang bersatu padu. Justeru, teras perpaduan nasional dalam sistem pendidikan kita telah diperkukuhkan lagi oleh Laporan Rahman Talib 1960, Akta Pelajaran 1961 dan Laporan Jawatankuasa Kabinet 1974 dan 1979.  Jelasnya, pelaksanaan pelbagai perakuan dalam laporan-laporan ini telah memberi sumbangan besar kepada usaha memupuk dan memperkukuhkan perpaduan nasional di negara kita.
 
4.         Transformasi yang kedua tercetus apabila Falsafah Pendidikan Kebangsaan diperkenalkan pada tahun 1988. Buat julung kali dalam sejarah, pendidikan di negara kita diberikan satu hala tuju yang jelas untuk memupuk nilai-nilai murni melalui pembinaan sahsiah yang seimbang.  Di bawah lembayung Falsafah Pendidikan Kebangsaan, pendidikan di negara kita menjadi wahana utama untuk memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu bagi melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
 
5.         Dalam konteks ini, pendidikan di negara kita berperanan untuk melahirkan rakyat yang bukan sahaja berilmu pengetahuan, tetapi juga berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berketrampilan. Inilah prinsip asas yang menjadi panduan kepada segala usaha pembangunan pendidikan di negara kita selama ini. Dalam menempuhi pelbagai cabaran di pentas dunia global hari ini, kita berharap agar insan seimbang yang dilahirkan oleh sistem pendidikan kita berupaya bukan sahaja untuk mencapai kesejahteraan diri tetapi juga memiliki kekuatan moral untuk meberi sumbangan yang bermakna kepada masyarakat dan negara. Matlamat pendidikan yang murni ini akan terus kita pertahankan dalam merencana halatuju pendidikan negara pada masa hadapan.
 
6.         Seterusnya, transformasi ketiga dalam sistem pendidikan negara kita tercetus apabila hasrat untuk melihat Malaysia muncul sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020 menjadi agenda utama negara.  Sejak dari itu, sektor pendidikan di negara kita memberi tumpuan kepada usaha melahirkan sumber manusia yang berilmu dan berkemahiran untuk memacu kemajuan negara dalam persekitaran global yang lebih mencabar. Tanpa mengkesampingkan pendidikan yang holistik dan bersepadu, keutamaan diberikan kepada penguasaan ilmu sains dan teknologi yang merupakan nadi kepada pembangunan dan kemajuan negara. Fasa ketiga transformasi pendidikan ini menjadi lebih penting apabila negara kita pada awal dekad 1990-an mula menghadapi cabaran besar arus globalisasi.
 
7.         Sesungguhnya, ketiga-tiga fasa transformasi yang dilalui oleh sektor pendidikan di negara kita telah membuahkan hasil yang membanggakan. Sepanjang tempoh ini, kita telah mencatat beberapa kejayaan penting. Antaranya ialah kejayaan memperluaskan akses kepada pendidikan untuk semua rakyat. Pada tahun 1970, lebih satu pertiga daripada kanak-kanak di negara kita tidak berpeluang untuk mengikuti persekolahan. Tetapi hari ini jumlah kanak-kanak yang mengikuti sekurang-kurangnya pendidikan asas telah meningkat kepada 95 peratus.
 
8.         Begitu juga dengan kadar literasi. Jika kita menoleh ke belakang, kita dapati pada tahun 1970 hanya 75 peratus rakyat Malaysia yang boleh membaca dan menulis. Namun hari ini, kadar literasi di negara kita telah meningkat kepada lebih 90 peratus. Demikian juga halnya dengan taraf sosio-ekonomi rakyat. Dengan menyediakan pendidikan yang berkualiti, kita telah berjaya mengeluarkan rakyat daripada belenggu kemiskinan. Kadar kemiskinan isi rumah di negara kita telah berjaya dikurangkan daripada 49.3 peratus pada tahun 1970 kepada kurang 4 peratus sekarang. Pada masa yang sama, pendapatan per kapita rakyat telah meningkat daripada hanya RM1,159 pada tahun 1970 kepada RM28,000 pada tahun 2011.
 
CABARAN SISTEM PENDIDIKAN
 
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
 
9.         Banyak lagi kejayaan yang telah dicapai oleh negara kita hasil daripada transformasi yang berlaku dalam sistem pendidikan negara sepanjang 55 tahun kita merdeka. Meskipun begitu, kita tidak boleh leka dan lalai dengan kejayaan ini. Dalam perlumbaan menuju negara maju, kita perlu sentiasa meningkatkan kualiti pendidikan negara supaya kita tidak ketinggalan dalam menghadapi persaingan global yang semakin sengit. Untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi, Malaysia perlu terus membangunkan sumber manusia yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi melalui pendidikan yang berkualiti.
 
10.       Maka, pada hemat saya sudah tiba masanya kita melalui satu lagi fasa tranformasi pendidikan untuk menganjak kedudukan negara kita daripada sebuah negara membangun berpendapatan sederhana kepada negara maju berpendapatan tinggi. Untuk meralisasikan hasrat ini, kita perlu melahirkan modal insan yang kreatif dan inovatif serta berdaya saing di peringkat antarabangsa. Kita sedar bahawa modal insan yang mempunyai keupayaan untuk bersaing di peringkat antarabangsa hanya akan lahir melalui sistem pendidikan yang bertaraf dunia. Justeru, kita mensasarkan dalam tempoh 15 tahun akan datang, Malaysia bakal meraih kejayaan seperti negara Korea, Finland, Jepun, New Zealand dan Singapura  yang berada pada kedudukan teratas dalam pencapaian pentaksiran di peringkat antarabangsa. 
 
11.       Untuk tujuan itu, Kementerian Pelajaran kini sedang berusaha untuk menghasilkan Pelan Pembangunan Pendidikan yang menyeluruh berdasarkan satu kajian semula pendidikan negara yang melibatkan pandangan semua pihak berkepentingan dan masyarakat awam. Kajian ini akan membolehkan kita memahami pencapaian dan cabaran pendidikan di peringkat rendah dan menengah, yang kemudiannya boleh dijadikan asas untuk menentukan dasar dan halatuju pendidikan di peringkat pengajian tinggi pula.
 
SEMBILAN BIDANG UTAMA KAJIAN SEMULA PENDIDIKAN
 
12.       Dalam kajian semula pendidikan ini, sembilan bidang utama yang dianggap kritikal untuk mentranformasi pendidikan negara akan diberikan perhatian oleh kerajaan.
 
13.       Pertama, ialah memartabatkan profesion keguruan. Sebagaimana kita tahu, kecemerlangan pendidikan hanya dapat dicapai melalui kecemerlangan dalam pengajaran dan pembelajaran. Dapatan kajian antarabangsa menunjukkan bahawa guru yang berkualiti mampu meningkatkan pencapaian pelajar sebanyak 50 peratus dalam tempoh 3 tahun berbanding guru-guru lain. Untuk itu, Kementerian Pelajaran akan memberi fokus kepada usaha meningkatkan kualiti guru melalui pengambilan calon-calon guru yang memiliki keputusan akademik yang cemerlang serta meningkatkan kualiti latihan pra-perkhidmatan dan dalam perkhidmatan untuk guru-guru. Di samping itu, untuk tujuan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, kementerian telah menambah bilangan guru dengan ratio 1 guru bagi setiap 13 orang murid, iaitu melebihi purata antarabangsa 1 guru bagi setiap 16 orang murid.  Selaras dengan usaha untuk meningkatkan kualiti guru, kerajaan juga akan memastikan peluang perkembangan kerjaya guru di negara kita adalah setanding dengan apa yang dinikmati oleh guru-guru di negara-negara maju.
 
14.       Keduanya ialah meningkat kualiti kepimpinan sekolah. Sepertimana guru, pemimpin sekolah juga menyumbang kepada peningkatan kualiti pendidikan.  Kajian menunjukkan bahawa pemimpin sekolah yang berwibawa berupaya meningkatkan pencapaian pelajar sebanyak 20% berbanding pemimpin sekolah yang lain.  Dalam usaha untuk memantapkan kualiti kepimpinan sekolah, Kementerian Pelajaran telah memperkenalkan Bai’ah atau tawaran baru dengan memberikan ganjaran kepada pengetua dan guru besar yang menunjukkan pencapaian cemerlang dalam meningkatkan prestasi sekolah. Namun begitu, saya percaya masih terdapat ruang-ruang untuk memantapkan kualiti kepimpinan sekolah melalui pemilihan pengetua dan guru besar berasaskan merit dan pelan peralihan kepimpinan sekolah  yang berkesan. Saya berharap agar aspek-aspek ini dapat diberikan perhatian utama dalam proses kajian semula pendidikan yang sedang dilaksanakan.
 
15.       Ketiganya ialah meningkatkan kualiti sekolah yang merupakan elemen penting dalam usaha meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Dalam era teknologi maklumat hari ini, sekolah yang berkualiti perlu mempunyai prasarana ICT yang lengkap untuk membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan dengan lebih berkesan. Untuk tujuan ini, kerajaan membekalkan kemudahan ICT kepada sekolah termasuk kemudahan jalur lebar dan internet berkelajuan tinggi bagi memudahkan murid mengakses maklumat di dunia maya. Pelbagai bahan ilmiah yang diperolehi melalui pembelajaran maya pastinya dapat meningkatkan penguasaan ilmu di kalangan pelajar dan seterusnya merapatkan jurang pengetahuan antara sekolah.
 
16.       Keempat, memantapkan kualiti kurikulum dan pentaksiran untuk menyediakan modal insan abad ke-21. Sesungguhnya, asas kepada kejayaan sistem pendidikan terletak pada kualiti kurikulum sekolah yang akan menentukan kualiti modal insan yang dilahirkan. Justeru, keutamaan Kementerian Pelajaran dalam proses kajian semula pendidikan ini adalah untuk membina satu kurikulum yang memenuhi piawai antarabangsa dengan menekankan aspek kemahiran kreatif, penyelesaian masalah dan inovasi yang merupakan ramuan utama untuk melahirkan modal insan yang mampu untuk bersaing di peringkat global.
 
17.       Kelima, meningkatkan penguasaan pelbagai bahasa di kalangan murid.  Kita sedar akan kepentingan penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di negara kita. Kementerian pelajaran sentiasa berusaha untuk meningkatkan penguasaan murid dalam kedua-dua bahasa ini.  Namun, adalah lebih baik sekiranya murid di negara kita dapat menguasai satu lagi bahasa seperti Mandarin, Tamil, Arab, Iban dan bahasa-bahasa antarabangsa. Apatah lagi dengan kemunculan kuasa baru ekonomi dunia yang sebahagiannya bertumpu di negara-negara Asia , penguasaan satu lagi bahasa selain bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua sudah tentu dapat meningkatkan daya saing negara kita di persada antarabangsa.
 
18.       Keenam ialah penglibatan ibu bapa, sektor swasta dan masyarakat sebagai rakan kongsi dalam pendidikan. Seperti yang kita sedia maklum, proses pembelajaran tidak hanya berlaku sewaktu murid berada di sekolah. Jika kita ingin memperluaskan sistem pembelajaran, bermakna kita perlu memperluaskan persekitaran dan peluang pembelajaran melangkaui sempadan sekolah. Justeru, satu aspek yang ingin diberikan penekanan dalam kajian semula pendidikan ini ialah peranan pihak berkepentingan di luar lingkungan sekolah untuk berganding bahu dengan pihak sekolah dalam usaha meningkatkan pencapaian murid.
 
19.       Ketujuh ialah meningkatkan kesediaan murid untuk merebut peluang dalam pendidikan tinggi dan pasaran kerja. Terbukti, murid yang berjaya melanjutkan pendidikan ke peringkat pengajian tinggi akan memperolehi peluang kerjaya yang lebih baik, dan dengan itu mengecap kehidupan yang lebih selesa. Untuk itu, sistem pendidikan kita perlu dipastikan dapat menyediakan peluang lepasan menengah yang lebih baik untuk murid-murid kita. Kita perlu melengkapkan mereka dengan ilmu dan kemahiran yang akan membolehkan mereka memasuki pasaran kerja dalam sektor yang berdaya saing. Untuk tujuan ini, di samping menguasai literasi dan numerasi, murid-murid kita juga perlu dilengkapkan dengan kemahiran-kemahiran abad ke-21 seperti kualiti kepimpinan, kemahiran menyelesaikan masalah, pemikiran aturan tinggi (higher order thinking) dan kebolehan berkomunikasi dengan berkesan.
 
20.       Kelapan ialah memperbaiki kecekapan dan keberkesanan pengurusan sumber.  Bagi tahun 2012, sebanyak 16 peratus daripada belanjawan negara diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran, iaitu peratusan yang terbesar berbanding kementerian-kementerian lain. Dengan jumlah peruntukan yang besar ini, pihak kementerian tekad untuk melaksanakan program yang berimpak tinggi bagi meningkatkan mutu pendidikan di negara kita. Cabaran Kementerian adalah untuk mengurus sumber dengan cekap bagi mengelakkan ketirisan dan pembaziran serta memastikan sumber diagih secara optima agar pulangan yang maksimum terhasil daripada setiap ringgit yang dibelanjakan untuk pendidikan.
 
21.       Dan yang kesembilan ialah membina kemampuan serta keupayaan sistem penyampaian pendidikan. Pada masa ini, terdapat kira-kira 10,000 orang pegawai di peringkat kementerian, 6,000 di peringkat negeri, 4,000 di peringkat daerah dan 420,000 orang guru di sekolah. Inilah pasukan yang menggerakkan sistem penyampaian pendidikan di negara kita. Kejayaan sistem pendidikan kita bergantung pada sejauh mana sistem penyampaian di setiap peringkat berupaya untuk berfungsi dengan cekap dan berkesan.  Oleh itu, kajian semula pendidikan ini akan melihat bagaimana aspek kecekapan penyampaian pendidikan dapat ditingkatkan untuk memantapkan lagi kualiti pendidikan di negara kita. Dalam konteks ini, kualiti kepimpinan dan susunan urustadbir kementerian akan diberikan perhatian yang utama dalam usaha untuk meningkatkan kecekekapan dan keberkesanan fungsi pegawai di setiap peringkat.
 
DIALOG NASIONAL PENDIDIKAN NEGARA
 
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
 
22.       Dalam merangka hala tuju pendidikan negara, kerajaan berhasrat untuk mendengar pandangan pelbagai lapisan masyarakat mengenai pencapaian dan cabaran masa depan sistem pendidikan kita. Walaupun pihak Kementerian menetapkan sembilan bidang utama kajian semula pendidikan, atas semangat musyawarah dan keterbukaan dalam memberi dan menerima pandangan, pihak Kementerian mengalu-alukan sebarang bentuk pandangan dan saranan berkaitan dengan soal pendidikan. Berilah pandangan yang konstruktif, rasional dan bertanggungjawab dengan niat yang ikhlas untuk meningkatkan kualiti dan martabat pendidikan di negara kita.
 
23.       Untuk itu, kerajaan mempelawa semua lapisan masyarakat untuk menyampaikan pandangan dan suara hati kepada kerajaan melalui siri Dialog Nasional Pendidikan Negara yang bermula pada hari ini. Selepas perhimpunan ini, beberapa siri dialog akan diadakan di seluruh negara sehingga pertengahan bulan Julai nanti. Selain daripada siri dialog, pandangan juga boleh disampaikan melalui twitter, facebook dan laman sawang kajian semula pendidikan. Setelah kajian ini selesai, satu laporan awal akan disediakan dan rakyat sekali lagi dipelawa untuk memberikan pandangan sebelum dokumen  Pelan Hala Tuju Pendidikan Negara dimuktamadkan.
 
24.       Siri dialog ini adalah satu inisiatif yang bersejarah kerana buat pertama kali kerajaan mempelawa pandangan masyarakat umum dalam skala yang besar untuk bersama-sama merangka pelan pembangunan pendidikan negara ketika kita sedang melangkah memasuki fasa baru transformasi. Oleh itu, rebutlah peluang keemasan ini untuk kita bersama-sama mencorak masa depan pendidikan negara yang melambangkan aspirasi rakyat seluruhnya.
 
25.       Namun begitu, harus diingatkan bahawa siri dialog ini bukanlah medan untuk mengutarakan tuntutan-tuntutan melampau yang bercanggah dengan perkara-perkara asas yang termaktub dalam Perlembagaan, undang-undang dan Rukunegara. Tumpukan perhatian kepada hal-hal yang berkaitan dengan peningkatan kualiti pendidikan yang akan memanfaatkan semua pihak. Saya juga ingin menegaskan bahawa kajian semula pendidikan ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti semua sekolah dalam sistem pendidikan kebangsaan dan ini termasuklah sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan cina, sekolah jenis kebangsaan tamil, sekolah mubaligh dan sekolah agama bantuan kerajaan. Jangan ada pihak yang merasakan hanya sekolah-sekolah tertentu sahaja yang akan menerima manfaat daripada kajian semula pendidikan ini, manakala sekolah-sekolah yang lain pula terabai. Untuk memastikan mutu pendidikan negara dapat ditingkatkan secara keseluruhannya, maka kualiti semua sekolah mesti kita tingkatkan. 
 
26.       Selanjutnya, sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, kelestarian kemajuan dan kemakmuran negara kita terletak pada keupayaan kita semua untuk memupuk perpaduan dan keharmonian kaum yang berkekalan. Oleh yang demikian, fungsi sistem pendidikan kita sebagai wadah pembina negara bangsa dan perpaduan nasional berlandaskan prinsip-prinsip Rukunegara mesti terus disemarakkan. Sehubungan itu, saya amat mengalu-alukan pandangan saudara dan saudari sekalian mengenai cara bagaimana untuk kita tingkatkan lagi peranan sistem pendidikan kita sebagai wadah perpaduan nasional.
 
27.       Akhir kata, saya mengajak saudara dan saudari sekalian untuk turut serta dalam satu proses bersejarah yang akan mengangkat martabat sistem pendidikan kita dan menentukan kedudukan negara kita di peta dunia pada masa hadapan. Sesungguhnya, kelestarian pendidikan yang berkualiti bukan setakat menyediakan rakyat untuk menempa taraf negara maju, tetapi lebih dari itu untuk kekal maju dan berdaya saing. Untuk itu, sertailah Dialog Nasional Pendidikan Negara dan berilah sokongan padu anda kepada usaha kerajaan untuk mewujudkan pendidikan berkualiti yang lestari dan seterusnya mengangkat sistem pendidikan negara kita ke satu tahap yang disegani di peringkat antarabangsa. Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim saya dengan sukacitanya melancarkan Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012. 
 
Wabillahi al-taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment